Koleksi Ucapan Ketua Pengarah
Koleksi Ucapan Timbalan Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi)
Koleksi Ucapan Ketua Setiausaha Negara
Teks Ucapan Tan Sri KSN di APC JPM 2016 | ||
Koleksi Ucapan YBhg. Tan Sri Dr. Ali bin Hamsa | ||
Majlis Amanat YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara 2014 Pada 20 Januari 2014 bertempat di Dewan Plenari, Putrajaya International Convention Centre (PICC) Putrajaya | ||
Buku Kecil ‘Merakyatkan Perkhidmatan Awam’ | ||
Ringkasan Buku ‘Merakyatkan Perkhidmatan Awam’ | ||
Sesi Bersama Media Susulan Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 1 | ||
Transkrip Ucapan YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPM 2014 bertarikh 12 Jun 2014 |
PERUTUSAN TAHUN BARU 2015
PERUTUSAN TAHUN BARU 2015 DARIPADA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI, YB PUAN HAJAH NANCY SHUKRI
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Sungguh tidak terasa, kita sudah sampai ke penghujung Tahun 2014.
Tahun ini menyaksikan pelbagai cabaran baru yang terpaksa dilalui seluruh rakyat di negara ini. Kita bersama-sama merasai pengalaman meruntun jiwa kehilangan pesawat MH370 diikuti dengan tragedi yang menimpa anak kapal dan penumpang pesawat MH17. Terbaru, kita diuji pula dengan musibah banjir terbesar dalam tempoh 30 tahun yang melanda Pantai Timur. Kejadian itu mengajar kita erti ketabahan, kesabaran dan semangat cintakan negara serta bersatu hati di kalangan rakyat pelbagai lapisan masyarakat.
Selang beberapa hari selepas itu pula, kita dikejutkan dengan berita kehilangan pesawat Air Asia Indonesia QZ8501 yang membawa 155 penumpang dan anak kapal termasuk seorang rakyat Malaysia. Sekali lagi, kita berkongsi rasa duka dan bersama-sama membantu negara yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat malang itu.
Kita juga berdepan dengan cabaran perpaduan yang menguji semangat toleransi dan hormat menghormati di kalangan kita. Elemen keharmonian itu yang selama ini menjadi tulang belakang kepada kehidupan aman permai yang kita nikmati seolah-olah cuba dirampas oleh pihak yang mahu melihat perpecahan di kalangan rakyat Malaysia yang makmur.
Kebangkitan isu-isu berkaitan Akta Hasutan, draf Akta Keharmonian Nasional menjadi perdebatan hangat. YAB Perdana Menteri yang mendengar keluh kesah rakyat akhirnya mengambil keputusan untuk mengekalkan Akta Hasutan dengan penambahbaikan demi melindungi semua kaum di Malaysia daripada kumpulan masyarakat yang tidak menghormati sensitiviti kaum dan agama sehingga menyebabkan tahap ketegangan yang semakin meningkat di negara ini. Pelbagai provokasi dilakukan untuk menguji ketegasan pihak berkuasa dalam menangani isu-isu yang ditimbulkan.
Sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Undang-Undang, adalah menjadi azam saya untuk melihat perpaduan dan keharmonian yang selama ini sama-sama kita semai, terus terpelihara secara semulajadi, tanpa adanya sentimen yang boleh menggangu-gugat kesejahteraan rakyat.
Sebagai melabuh tirai 2014 dan pembukaan tirai 2015, saya juga berharap penganjuran Program Outreach yang akan diadakan sepanjang tahun 2015 ini akan menguatkan lagi semangat dan sikap taat setia rakyat kepada negara tercinta ini.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada masyarakat Kristian di negara ini. Semoga keharmonian serta rasa kasih sayang sesama insan yang telah kita semai selama ini terus terpelihara, kerana inilah asal bermulanya kehidupan kita di bumi ini. Sebagai insan di muka bumi ini, kita saling memerlukan satu sama lain.
Peristiwa-peristiwa seperti bencana alam seperti banjir besar yang melanda negara serta yang tanah runtuh di Cameron Highlands, tragedi MH370 dan MH17 serta QZ8501 secara tidak langsung telah membuktikan betapa halusnya jiwa kita sebagai insan dan rakyat Malaysia yang kaya dengan rasa kasih terhadap masyarakat di sekeliling kita. Semangat kecintaan sesama kita ini, terus menjadi perangsang terutamanya kepada mereka yang ditimpa kesusahan. Kita juga harus bertanggungjawab ke atas apa jua perkara yang kita lakukan pada hari ini, kerana setiap perkara itu akan memberi impak kepada masa depan generasi akan datang.
Sama-samalah kita menerima ketibaan Tahun 2015 dengan perasaan cinta sesama dan kasih sayang sesama insan agar kita semua dapat meneruskan kehidupan kita tanpa perasaan prejudis. Marilah bersama-sama meneruskan kehidupan kita dengan memajukan diri dan negara tercinta.
Saya dan seluruh keluarga saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2015!
Sekian terima kasih.
YB HAJAH NANCY SHUKRI
Menteri di Jabatan Perdana Menteri