TERAS PEMBANGUNAN MAHKAMAH

I. PENDAHULUAN

Keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang menjadi asas kepada amalan sistem demokrasi berparlimen dan sistem Kerajaan berasaskan pembahagian kuasa di antara badan-badan Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman. Bagi mendukung badan kehakiman, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU-JPM) telah menyasarkan misi dan objektif untuk merancang dan membangunkan infrastruktur dan prasarana Mahkamah. Ini termasuk juga untuk mencetuskan inisiatif baru ke arah penambahbaikan dalam sistem penyampaian pentadbiran kehakiman negara berteraskan kehendak Kerajaan dan keperluan masyarakat.

Institusi Kehakiman telah wujud sejak zaman kolonial British lagi. Skop, bidang kuasa, dan tanggungjawab institusi ini telah berkembang dan diperluaskan semenjak negara mencapai kemerdekaan, khusus berikutan peningkatan jumlah penduduk serta aktiviti ekonomi dan komersial dalam tempoh 60 tahun kebelakangan ini. Walau bagaimanapun, kemudahan-kemudahan fizikal serta teknologi Mahkamah yang disediakan tidak selari dengan kemajuan dalam sistem badan kehakiman di Malaysia.

Bangunan-bangunan yang dibina sebelum Perang Dunia Kedua (Pre-War Buildings) masih digunakan sebagai Mahkamah. Kemudahan dan ruang sedia ada di bangunan-bangunan tersebut tidak lagi mampu menampung keperluan semasa Badan Kehakiman.

Keadaan ini telah menjejaskan pentadbiran kehakiman dan telah menyumbangkan kepada kes-kes yang tertunggak di Mahkamah seluruh negara. Jika keadaan ini berterusan, ianya boleh menjejaskan hak asasi rakyat serta pembangunan ekonomi negara.

II. TERAS PEMBANGUNAN MAHKAMAH
BHEUU telah merangka tiga (3) komponen teras seperti berikut:-

  1. Menyediakan infrastruktur fizikal yang lengkap;
  2. Menaik taraf bangunan mahkamah yang usang; dan
  3. Memantau dan menilai prestasi kemajuan pelaksanaan program dan projek pembangunan mahkamah serta menyediakan langkah intervensi sekiranya diperlukan.

A) MENYEDIAKAN INFRASTRUKTUR FIZIKAL YANG LENGKAP

Bagi memenuhi keperluan semasa Badan Kehakiman, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) telah mengambil tindakan strategik seperti berikut:

i. Membina bangunan-bangunan Mahkamah baharu bagi menggantikan bangunan Mahkamah lama;
ii. Membina bangunan-bangunan Mahkamah yang mempunyai satu atau dua buah bilik bicara di daerah-daerah pentadbiran yang tidak mempunyai bangunan Mahkamah. Ini adalah bertujuan untuk memudahkan orang ramai berurusan dengan pihak Mahkamah; dan
iii. Merancang dan menentukan pembinaan kompleks Mahkamah di setiap ibu negeri di Malaysia. Berikut adalah pencapaian bagi pembinaan Kompleks Mahkamah di setiap ibu negeri dan projek pembinaan mahkamah baharu di Malaysia sehingga November 2022:

  BIL.      KOMPLEKS MAHKAMAH NEGERI/ MAHKAMAH    KOMPLEKS MAHKAMAH
 1. Kompleks Mahkamah Alor Setar, Kedah  Siap sepenuhnya
 2. Kompleks Mahkamah Negeri Melaka, Melaka  Siap sepenuhnya
 3. Kompleks Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan  Siap sepenuhnya
 4. Kompleks Mahkamah Kuantan, Pahang  Siap sepenuhnya
 5. Kompleks Mahkamah Pulau Pinang  Siap sepenuhnya
 6. Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah  Siap sepenuhnya
 7. Kompleks Mahkamah Kuching, Sarawak  Siap sepenuhnya
8. Kompleks Mahkamah Shah Alam, Selangor  Siap sepenuhnya
9. Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu, Terengganu  Siap sepenuhnya
10. Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur  Siap sepenuhnya
11. Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis Siap sepenuhnya
12. Kompleks Mahkamah Kota Bahru, Kelantan Siap sepenuhnya
13. Kompleks Mahkamah Baharu Ampang, Selangor Dalam peringkat pembinaan bangunan baharu
14. Mahkamah Baharu Sik, Kedah Dalam peringkat pembinaan bangunan baharu
15. Mahkamah Baharu Pengerang, Johor Dalam peringkat pembinaan bangunan baharu
16. Kompleks Mahkamah Johor Bahru, Johor Dalam peringkat pra pelaksanaan
17. Kompleks Mahkamah Ipoh, Perak Dalam peringkat pra pelaksanaan
18. Mahkamah Baharu Bachok, Kelantan Dalam peringkat pra pelaksanaan
19. Mahkamah Baharu Temerloh, Pahang Dalam peringkat pra pelaksanaan

B) MENAIKTARAF BANGUNAN MAHKAMAH YANG USANG

BHEUU telah juga merancang untuk menaiktaraf dan membesarkan ruang kerja Mahkamah selaras dengan keperluan semasa. Kebanyakan bangunan-bangunan Mahkamah yang sedia ada tidak dapat menampung keperluan semasa. Untuk itu ruang-ruang tambahan dicadangkan untuk dibina bagi mengadakan bilik-bilik seperti bilik bicara tambahan, perpustakaan, kantin, stor, bilik fail, bilik solat dan pembesaran ruang kaunter setempat (One Stop Centre) bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada orang awam.

Status pelaksanaan Kerja Naik Taraf, Ubah Suai dan Pemuliharaan Bangunan Mahkamah di seluruh Malaysia sehingga November 2022:

    STATUS PROJEK      BILANGAN POJEK  
Bilangan projek yang telah diluluskan 288 projek
Bilangan projek yang masih dalam Penyediaan Dokumen/Iklan/ SST/Pembinaan  80 projek
Bilangan projek yang telah siap sepenuhnya  208 projek

Ini merupakan Inisiatif Kerajaan bagi projek naik taraf dan kerja-kerja pemuliharaan bangunan mahkamah di seluruh Malaysia bagi Rolling Plan Ke-empat Tahun 2020 dengan kos sebanyak RM120 juta di bawah Peruntukan Pembangunan.

C) MEMANTAU DAN MENILAI PRESTASI KEMAJUAN PELAKSANAAN PROGRAM DAN PROJEK PEMBANGUNAN MAHKAMAH SERTA MENYEDIAKAN LANGKAH INTERVENSI SEKIRANYA DIPERLUKAN

  • Memastikan kemudahan fizikal sistem pentadbiran keadilan disediakan mengikut piawaian yang ditetapkan bagi membantu mengurangkan kes-kes tertunggak dengan memastikan peruntukan kewangan yang diterima adalah mencukupi bagi menyokong kapasiti sumber manusia yang telah ditetapkan;
  • Memastikansemua kerja-kerja fizikal bangunan siap dengan sempurna sebelum menetapkan sesi penerimaan dan penyerahan kepada agensi pelanggan; dan
  • Memastikansemua kerja-kerja pembaikan kecacatan dilaksanakan dalam tempoh tanggungan kecacatan projek (Defect Liability Period).