Sejarah

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri telah ditubuhkan pada 8 Mei 1995 selepas pembubaran Kementerian Undang-undang Malaysia. Pada waktu itu, kluster bahagian ini adalah terdiri daripada Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), Biro Bantuan Guaman, Jabatan Pemegang Harta dan Jabatan Pemegang Amanah dan Pentadbir Pusaka. Walau bagaimanapun, mulai 1 Ogos 1995, Jabatan Pemegang Amanah dan Pentadbir Pusaka telah diperbadankan dan dikenali sebagai Amanah Raya Berhad. Susulan itu, keseluruhan pentadbiran agensi berkenaan telah dikeluarkan dari BHEUU melainkan perkara-perkara berkaitan pewartaan para pegawai Amanah Raya bagi tujuan kehadiran di mahkamah.

PKPMP juga berpisah daripada pentadbiran BHEUU pada 1 Julai 1996. Unit Perancangan dan Pembangunan Mahkamah di PKPMP pula telah dipindahkan dan diletakkan dibawah pentadbiran BHEUU dan menjadi salah satu cawangan utama di Bahagian ini bermula 16 April 2003.

Jabatan Pemegang Harta kemudiannya telah bertukar nama kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM) pada 1 Oktober 2003 berikutan dengan pindaan Akta Kebankrapan 1967. Mulai Oktober tahun 2009, Jabatan Insolvensi Malaysia telah dikenali secara rasminya sebagai Malaysia Department of Insolvency (MdI).

Dalam pada itu, mulai 16 Januari 2010, Biro Bantuan Guaman dikenali sebagai Jabatan Bantuan Guaman (JBG). Sebahagian daripada proses reformasi yang telah diperkenalkan oleh Jabatan ini ialah menghapuskan kekeliruan masyarakat terhadap Biro Bantuan Guaman yang selalu dirujuk sebagai Biro Pengaduan Awam, salah satu unit di bawah seliaan Majlis Peguam. Pertukaran nama ini perlu bagi mencerminkan perkembangan dan perluasan JBG di seluruh Malaysia.

BHEUU juga merupakan sekretariat kepada Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi kes-kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta untuk kes-kes keselamatan di seluruh negara. Bermula tahun 2006, BHEUU juga menjadi agensi yang memantau dan menyelaras urus setia Mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri- negeri.

Berdasarkan keputusan Kabinet pada 8 April 2004, BHEUU telah mengambil alih peranan sebagai sekretariat kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) daripada Kementerian Luar Negeri. BHEUU bertanggungjawab untuk membantu Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam urusan pelantikan ahli- ahli suruhanjaya dan mengemukakan laporan maklum balas Kementerian terhadap Laporan Tahunan SUHAKAM.

Mulai tahun 2021, fungsi BHEUU semakin meluas melangkaui senarai fungsi yang dijelaskan melalui Perintah Menteri-menteri Kerajaan Persekutuan (No. 3) 2021 (P.U.(A) 383) berkuat kuasa 8 Oktober 2021. Selain menjalankan fungsi sedia ada, BHEUU dipertanggungjawabkan sebagai lead agency untuk penetapan dasar dan pentadbiran perundangan yang tidak berada di bawah fungsi mana-mana Kementerian/Jabatan secara jelas. BHEUU turut menjadi agensi peneraju bagi isu hak asasi manusia bersifat domestik dan maklum balas dan ulasan pihak antarabangsa berkaitan isu hak asasi manusia dan dasar perundangan negara.