Siaran Media 12 Jan 2018

jata

SIARAN MEDIA

PEJABAT YB DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

LAPORAN NHRAP DIMUKTAMAD AKAN DIBENTANG KE KABINET

 

PUTRAJAYA - Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) semalam telah memuktamadkan laporannya dan akan dibentang ke Kabinet dalam masa terdekat. Mesyuarat yang berlangsung di Bangunan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) itu telah di pengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Azalina Othman Said bersama Datuk Paul Low.

2. Pembangunan NHRAP ini merupakan komitmen Kerajaan semasa proses Semakan Berkala Sejagat atau Universal Periodic Review (UPR) yang kedua di Geneva pada tahun 2013.  Pelaksanaan NHRAP ini akan memastikan isu-isu hak asasi manusia ditangani dengan baik, malah ia juga dilihat sebagai dokumen yang komprehensif yang akan memastikan panduan kepada pegawai Kerajaan khususnya dalam pembangunan dasar-dasar Kerajaan yang memberi impak positif kepada masyarakt umum.

3. Pelan Tindakan ini telah melalui sesi-sesi penglibatan yang ekstensif merangkumi semua pihak berkepentingan khususnya dengan agensi peneraju yang akan melaksanakan NHRAP termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pertubuhan Sosial Korporat (CSO) dan masyarakat umum. Pelaksanaan NHRAP ini juga merupakan bukti kukuh yang Kerajaan hari ini sentiasa telus dan prihatin dengan isu-isu hak asasi manusia di Malaysia. Sebaik kerangka NHRAP ini dipersetujui Kabinet, majlis pelancaran akan diadakan dan akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

4. Turut sama dalam mesyuarat itu, Ketua Pengarah BHEUU, Datuk Jalil Bin Marzuki, Penasihat Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Almalena Sharmila Bt Dato’ Dr. Johan, Ketua Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Peguam Negara, To’ Puan Azizan Bt Mohd Aziz, Pesuruhjaya SUHAKAM, Datuk Lok Yim Pheng wakil-wakil Kementerian dan agensi, Ahli-ahli Akademik, NGO dan pihak-pihak berkepentingan yang lain.


PEJABAT DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
Menteri di Jabatan Perdana Menteri

12 Januari 2018