Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2022 [Akta A1656]

1.  Apakah yang dimaksudkan dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2022 [Akta A1656]?
Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2022 [Akta A1656] adalah pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan selepas Perkara 119 suatu peruntukan bagi pengecualian pendaftaran pemilih secara automatik kepada Raja Pemerintah dan pasangan, Yang di-Pertua Negeri dan Pasangan, Bakal Raja, Waris Ganti dan Waris Lain Raja dan Pasangan dan mana-mana orang lain
 
2.  Apakah tujuan Akta ini diwujudkan?
Pengecualian pendaftaran pemilih secara automatik ini dilakukan bertujuan untuk mengecualikan Raja Pemerintah dan pasangan, Yang di-Pertua Negeri dan Pasangan, Bakal Raja, Waris Ganti dan Waris Lain Raja dan Pasangan dan mana-mana orang lain untuk tidak terlibat dengan urusan berkaitan dengan pilihan raya dan mengekalkan status berkecuali serta tidak memihak kepada mana-mana parti politik.
 
Perkara ini adalah lanjutan daripada pelaksanaan kelayakan umur mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik yang telah dikuatkuasakan pada 15 Disember 2021 yang lalu.
 
3.   Adakah pengecualian ini terpakai secara automatik?
Tidak. Suatu perintah iaitu Perintah Kelayakan Pemilih (Pengecualian) 2022 yang mengandungi maklumat pengecualian dari pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja sebelum diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Selepas diwartakan, butiran berkaitan akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan untuk tujuan pengemaskinian daftar pemilih.
 
4.   Apakah yang dimaksudkan dengan mana-mana orang lain? Adakah ianya terpakai pada mana-mana orang awam?
Mana-mana orang lain yang diperuntukkan dalam Akta adalah merujuk kepada golongan Kerabat Diraja yang dihasrat oleh negeri-negeri untuk dikecualikan daripada daftar pemilih. Perkara ini tidak terpakai kepada mana-mana orang awam.
 
5.   Sejauh manakah pengecualian ini terpakai kepada individu yang tersenarai dalam Perintah tersebut?
Pengecualian ini terpakai sepanjang tempoh pemerintahan/perjawatan. Sebarang pindaan yang perlu dilakukan kepada Perintah tesebut lanjutan daripada penamatan tempoh pemerintahan/penjawatan atau apa jua sebab yang berkaitan haruslah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk tujuan pengemaskinian daftar pemilih.
 
6.   Adakah Akta ini telah dikuatkuasakan?
Ya. Akta ini telah mula dikuatkuasakan pada 15 Disember 2021.

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Akta 711)

1.  Apakah yang dimaksudkan dengan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711]?

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] ialah akta yang baru digubal bagi memperuntukkan perlindungan terhadap Pemberi Maklumat yang telah mendedahkan sesuatu kelakuan tidak wajar. Sebagai contoh,sekiranya seseorang Pemberi Maklumat itu mendedahkan kesalahan rasuah majikan atau rakan mereka sendiri di tempat kerjanya, maka beliau berhak untuk mendapatkan perlindungan di bawah akta ini.
 
2.  Apakah perlindungan yang diberikan kepada pemberi maklumat?
Perlindungan yang diberikan merangkumi tiga perkara seperti berikut:
  1. perlindungan maklumat sulit. Sebagai contoh, maklumat mengenai identiti, pekerjaan, alamat kediaman, tempat pekerjaan dan lain-lain;
  2. kekebalan daripada tindakan sivil atau jenayah yang cuba dikenakan terhadap pemberi maklumat.Sebagai contoh, seseorang pemberi maklumat, tidak boleh disaman atau didakwa oleh pihak yang telah didedahkan kelakuan tidak wajarnya; dan
  3. perlindungan terhadap tindakan yang memudaratkan. Sebagai contoh, seorang pemberi maklumat telah memberi maklumat mengenai perbuatan rasuah majikannya. Jika majikannya ingin mengambil tindakan balas seperti membuang kerja si pemberi maklumat itu, maka pemberi maklumat itu adalah dilindungi di bawah akta ini.
3.   Apakah yang dimaksudkan dengan kelakuan tidak wajar?
Kelakuan tidak wajar bermaksud suatu kesalahan yang boleh terjumlah kepada kesalahan tatatertib atau kesalahan jenayah. Kesalahan tatatertib bermaksud tindakan yang melanggar tatatertib dalam badan awam atau badan swasta. Kesalahan tersebut hendaklah diperuntukkan oleh undang-undang atau dalam suatu tatalaku, kod etika atau pekeliling atau kontrak kerja. Manakala kesalahan jenayah pula adalah kesalahan yang telah diperuntukkan di bawah mana-mana undang-undang jenayah Negara ini seperti Kanun Keseksaan.
 
4.   Apakah pula yang dimaksudkan dengan tindakan yang memudaratkan?
Tindakan yang memudaratkan termasuklah perbuatan mencederakan, ugutan, gangguan, diskriminasi, penamatan perkhidmatan, gantung kerja, ancaman atau apa sahaja yang menyebabkan kerugian yang disebabkan oleh mana-mana orang ke atas pemberi maklumat.
 
5.   Kepada siapakah Akta ini terpakai?
Akta ini terpakai dalam kepada mereka yang berada dalam sektor awam dan swasta. Semua badan, agensi dan jabatan di bawah Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan badan swasta seperti syarikat adalah tertakluk kepada pemakaian Akta ini.
 
6.   Bilakah pemberi maklumat akan dilindungi di bawah Akta ini dan adakah pembatalan boleh dilakukan terhadap perlindungan yang telah diberikan?
Pada saat pemberi maklumat mendedahkan kelakuan tidak wajar (aduan), dia sudah menikmati perlindungan di bawah Akta ini.Perlindungan ini akan kekal selama-lamanya kecuali dibatalkan di bawah seksyen 11 Akta ini. Antara sebab-sebab pembatalan perlindungan adalah :
  1. pemberi maklumat sendiri telah menyertai kelakuan tidak wajar itu;
  2. pemberi maklumat sengaja membuat pernyataan palsu;
  3. pendedahan adalah remeh atau menyusahkan;
  4. pendedahan mempersoalkan merit dasar Kerajaan;
  5. pendedahan dibuat semata-mata untuk mengelak daripada dibuang kerja/tindakan tatatertib yang lain; dan
  6. pemberi maklumat telah melakukan kesalahan di bawah Akta ini.
7.   Sekiranya saya mempunyai maklumat mengenai kelakuan tidak wajar mengenai majikan saya, siapakah atau di mana saya perlu mendedahkan maklumat tersebut? Bolehkah saya mendedahkan melalui e-mel, telefon atau surat?
Pemberi maklumat boleh mendedahkan maklumat tersebut kepada mana-mana agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysa (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen Malaysia dan sebagainya. Agensi penguatkuasaan tidak akan menolak pendedahan tersebut atas dasar “no wrong door policy”.

Mengikut Akta ini, pendedahan boleh dibuat secara lisan atau bertulis. Pegawai yang diberi kuasa hendaklah mengubahnya ke dalam bentuk bertulis. Pendedahan boleh dibuat secara e-mel, telefon atau surat tetapi tetap perlu hadir untuk pengesahan.

Untuk melindungi pemberi maklumat tersebut, pegawai yang diberi kuasa akan menghubungi pemberi maklumat untuk menghadiri temujanji supaya perlindungan di bawah Akta ini dapat dilaksanakan.
 
8.   Apakah remedi yang boleh dituntut oleh seseorang pemberi maklumat sekiranya tindakan memudaratkan telah dikenakan terhadapnya?
Pemberi maklumat dan orang yang mempunyai hubungan atau kaitan dengan pemberi maklumat boleh menuntut remedi daripada mahkamah jika tindakan yang memudaratkan sebagai tindak balas terhadap pendedahan kelakuan tidak wajar telah diambil atau pemberi maklumat bimbang tindakan yang memudaratkan akan diambil terhadapnya. Remedi yang boleh dituntut oleh pemberi maklumat :
  1. Ganti rugi atau pampasan;
  2. Injunksi (tegahan); atau
  3. Relief lain yang difikirkan patut oleh mahkamah.
9.   Bilakah Akta ini dikuatkuasakan?
Akta ini telah dikuatkuasakan pada 15 Disember 2010.

UMUM

1. Apakah undang-undang yang dipertanggungjawabkan kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang?
Undang-undang yang telah dipertanggungjawabkan kepada BHEUU ialah:

  1. Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan)1952 [Akta 258]; dan
  2. Akta Perlindungan Pemberi Maklumat [Akta 711] – akta ini telah dikuatkuasakan pada 15 Disember 2010. 

2. Apakah objektif Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang?
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang telah ditubuhkan pada tahun 1995 dan objektifnya adalah:

  1. Merancang dan membangun prasarana mahkamah dan agensi mengikut keperluan stake holders dan pelanggan;
  2. Menggubal dasar dan peraturan yang efektif; dan
  3. Memberi perkhidmatan sokongan yang berkualiti kepada agensi-agensi.

3. Apakah perkhidmatan yang ditawarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang?
Perkhidmatan yang ditawarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang adalah :

  1. Pendaftaran Pemerbadanan Pemegang Amanah di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 [Akta 258];
  2. Penyelaras kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat [Akta 711];
  3. Urus setia kepada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan;
  4. Urus setia kepada Mesyuarat Penyelarasan Urus Setia Lembaga Pengampunan Negeri; dan
  5. Penyelaras kepada Pendaftaran Penasihat Mahkamah bagi Mahkamah Kanak-Kanak.

Nota : Sekiranya anda memerlukan pertanyaan lanjut, sila hadir ke BHEUU Putrajaya (03-8885 1000) atau emel kepada Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) [Akta 258]

1. Apakah yang dimaksudkan dengan Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 [Akta 258]?
Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 [Akta 258] adalah akta untuk mendaftarkan pemegang amanah bagi sesuatu badan/kumpulan orang sebagai suatu pertubuhan pemerbadanan yang ditubuhkan bagi tujuan agama, pendidikan, kesusasteraan, saintifik, khairat/kebajikan atau sosial seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 2, Akta 258. Akta ini hanya terpakai di Semenanjung Malaysia sahaja.
 
2. Apakah yang dimaksudkan dengan Sijil Pemerbadanan dan apakah kesan pemerbadanan pemegang amanah?
Sijil Pemerbadanan ialah sijil pendaftaran sebagai sebuah pertubuhan perbadanan yang dikeluarkan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengikut peruntukan di bawah Seksyen 2 Akta 258. Pemegang amanah yang telah mendapat Sijil Pemerbadanan akan menjadi sebuah pertubuhan perbadanan dengan nama yang dinyatakan dalam sijil tersebut dan mempunyai suatu meterai am tersendiri serta boleh mendakwa dan didakwa atas namanya.
 
3. Apakah kuasa-kuasa Menteri dalam melaksanakan Akta 258?
Kuasa-kuasa Menteri mengikut Akta 258 ialah:
(i) Menteri boleh mengehendaki untuk mendapatkan akuan bersumpah atau bukti lain bagi mengesahkan penyataan dan butir-butir dalam permohonan dan apa-apa maklumat serta keterangan lain yang difikirkan perlu.
(ii) Menteri boleh menolak permohonan untuk mendapatkan Sijil Pemerbadanan jika beliau berpuas hati bahawa permohonan tersebut tidak mematuhi peruntukan Akta 258 atau apa-apa peraturan yang dibuat di bawahnya.
(iii) Menteri melalui perintah boleh membatalkan Sijil Pemerbadanan tersebut jika didapati melanggar mana-mana peruntukan di bawah Seksyen 17 Akta 258.
 
4. Apakah dokumen-dokumen yang perlu dikemukakan untuk proses pendaftaran pemegang amanah?
Dokumen yang perlu dikemukakan ialah:
  1. Borang Permohonan untuk penubuhan Pemerbadanan Pemegang Amanah berserta setem Hasil RM30 (RM10 x 3 keping);
  2. salinan Kad Pengenalan (warganegara) / passport (bukan warganegara) yang disahkan benar bagi setiap Pengasas dan Pemegang Amanah;
  3. salinan keputusan carian kebankrapan daripada Jabatan Insolvensi Malaysia bagi setiap Pengasas dan Pemegang Amanah;
  4. sesalinan Akuan Bersumpah bagi setiap Pemegang Amanah yang dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Majistret atau Pesuruhjaya Sumpah;
  5. sesalinan draf Surat Ikatan Amanah;
  6. Curriculum Vitae (CV) / Resume bagi setiap Pemegang Amanah;
  7. (a) Salinan resolusi pelantikan Pemegang Amanah yang ditandatangani oleh orang yang diberi kuasa oleh Badan/Kumpulan Orang yang berkenaan; atau
    (b) Surat pelantikan sebagai Pemegang Amanah;
  8. surat penerimaan pelantikan sebagai Pemegang Amanah
  9. Reka Bentuk Cop Meterai Am yang dikepilkan bersama ke dalam borang permohonan;
  10. salinan dokumen-dokumen hak milik bagi hartanah (jika ada);
  11. sesalinan Sijil Pendaftaran Syarikat/Sijil Pendaftaran Pertubuhan;
  12. ringkasan mengenai latar belakang,  objektif penubuhan, visi, misi, sumber kewangan, aktiviti yang hendak dijalankan, kuasa melantik ahli-ahli lembaga pemegang amanah dan komposisi ahli lembaga pemegang amanah (tidak melebihi 10 muka surat). 
5. Apakah tanggungjawab pemegang amanah mengikut Akta 258?
Tanggungjawab pemegang amanah yang diperbadankan mengikut Akta 258 adalah:
  1. Merekodkan segala bukti pembayaran dan penerimaan untuk setiap perbelanjaan dan mengemukakan laporan kewangan yang telah diaudit kepada YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) pada atau sebelum 30 Jun setiap tahun.
  2. Memaklumkan kepada YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri melalui BHEUU, JPM mengenai sebarang perubahan ahli lembaga pemegang amanah (pelantikan baru/pelantikan semula/pemecatan/peletakan jawatan), pertukaran alamat dan nombor telefon atau apa-apa perkara berkaitan dengannya.
  3. Mengemukakan laporan aktiviti tahunan yang dilaksanakan oleh Pemerbadanan Pemegang Amanah.
6. Dalam keadaan manakah seseorang akan hilang kelayakan sebagai pemegang amanah?
Menurut Seksyen 6A, seorang pemegang amanah akan hilang kelayakannya jika:
  1. telah disabitkan dengan kesalahan di bawah mana-mana undang-undang dan dikenakan denda tidak kurang daripada Ringgit Malaysia satu ribu (RM1,000) atau penjara tidak kurang dari setahun atau kedua-duanya sekali;
  2. dikenakan perintah tahanan, pengawasan, kediaman terhad, buang negeri atau pengusiran telah dibuat terhadapnya atau apa-apa bentuk sekatan atau pengawasan, dengan bon atau selainnya telah dikenakan terhadapnya di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, pencegahan jenayah, tahanan, pencegahan kediaman terhad atau imigresen.
  3. bankrap;
  4. tidak sempurna akal.
7. Berapa tempoh sah laku sijil pemerbadanan?
Tempoh sah laku sijil pemerbadanan tersebut adalah kekal selama-lamanya kecuali dibatalkan.
 
8. Apakah yang menyebabkan sesebuah perbadanan dibatalkan atau digantung?
Sesebuah  perbadanan boleh dibatalkan atau digantung oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri apabila:
  1. diperbadankan melalui cara penipuan, khilaf atau salah nyata;
  2. digunakan bagi maksud yang menyalahi undang-undang atau yang memudaratkan atau tidak bersesuaian dengan keselamatan persekutuan, ketenteraman awam serta moral negara ini; 
  3. didapati telah menyimpang daripada objektif asal penubuhannya;
  4. telah melanggar dengan sengaja peruntukan-peruntukan di dalam Akta 258 dan peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta ini; dan/
  5. didapati melakukan suatu kesalahan di bawah mana-mana undang-undang yang boleh dihukum denda tidak kurang dari Ringgit Malaysia Satu Ribu (RM1,000) atau penjara tidak kurang dari setahun atau kedua-duanya sekali.
9. Bolehkah sesebuah perbadanan dibubarkan secara sukarela?
Pembubaran secara sukarela boleh dibuat oleh sesebuah perbadanan di bawah Seksyen 18 Akta 258.
 
10. Bolehkah sesebuah syarikat yang telah didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965/Akta Pertubuhan 1966 menjadi pengasas kepada sesebuah Pemerbadanan Pemegang Amanah?
Boleh.
 
11. Di mana saya boleh mendapat maklumat mengenai tatacara permohonan pendaftaran pemegang amanah?
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Pengarah
Seksyen Dasar Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang
Jabatan Perdana Menteri
Aras 6, Bangunan Hal Ehwal Undang-Undang Presint 3,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62692 PUTRAJAYA
No. Telefon: 03-8885 1000
Faks           : 03-8885 1088
Portal rasmi : www.bheuu.gov.my