Kenyataan Media 20 Julai 2016

jata

KENYATAAN MEDIA

YB DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

MAHKAMAH KHAS SIBER DIJANGKA BERMULA SEPTEMBER 2016 DI WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

 

PUTRAJAYA – Saya telah memaklumkan kepada Kabinet hari ini mengenai cadangan penubuhan Mahkamah Khas Siber bagi membicarakan kesalahan jenayah di bawah Undang-Undang Siber. Perkara tersebut juga telah dimaklumkan kepada, Ketua Hakim Negara, YAA Tun Dato’ Seri Arifin bin Zakaria.

2. Penubuhan Mahkamah Khas Siber ini adalah sebagaimana penubuhan mahkamah-mahkamah khas lain seperti Mahkamah Khas Rasuah, Mahkamah Khas Koroner, Mahkamah Khas Antipencatutan dan Mahkamah Khas Alam Sekitar dan sebagainya. Hakim-hakim yang khusus akan mendengar kes-kes berkaitan Undang-Undang Siber.

3. Kerajaan berpendapat sudah tiba masanya Mahkamah Khas Siber ini diwujudkan susulan daripada trend serangan siber yang membimbangkan seperti penggodaman, penipuan dalam talian, botnet, web-defacement, kecurian maklumat, pengintipan, judi siber, pornografi dan lain-lain. Pada masa yang sama kerajaan juga mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan termasuk NGO.

4. Justeru, satu Memorandum Jemaah Menteri berkenaan dengan penubuhan Mahkamah Khas Siber ini akan dibentangkan dalam masa terdekat. Bagi Fasa Pertama, Mahkamah Khas Siber ini dijangka mula beroperasi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula September 2016. Fasa seterusnya akan diikuti di negeri Selangor dan Johor kerana ketiga-tiga negeri ini mencatatkan kes jenayah siber yang tinggi. Kemudian akan disusuli di negeri-negeri lain.
5. Bagi memastikan Mahkamah Khas Siber ini dapat mencapai matlamat penubuhannya, hakim-hakim dan pihak-pihak yang terlibat akan diberikan latihan yang menyeluruh dan mencukupi bagi memastikan mahkamah ini dapat berfungsi dengan baik.


DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
Menteri di Jabatan Perdana Menteri

20 Julai 2016