LAWATAN KERJA YB MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (PARLIMEN DAN UNDANG-UNDANG) KE PROJEK PEMBINAAN MAHKAMAH BAHARU AMPANG

Ampang, 22 Julai – YB Dato’ Takiyuddin Haji Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) telah mengadakan lawatan kerja ke Projek Pembinaan Mahkamah Baharu Ampang, Selangor pada hari ini. Sejurus ketibaan beliau, YB Menteri telah diberi taklimat mengenai kemajuan projek yang disampaikan oleh Encik Ir. Mohd Shahril Mohd Said, Jurutera Daerah Hulu Langat sebelum dibawa melawat ke tapak projek.

Projek pembinaan Mahkamah Baharu Ampang ini melibatkan pembinaan satu blok bangunan empat tingkat yang terdiri daripada empat Mahkamah Sesyen dan enam Mahkamah Majistret di tanah berkeluasan 2.56 ekar. Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) telah melantik Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana bagi projek ini yang telah bermula pada 14 Mac 2017 dan dijadualkan siap pada April 2021.

Ketika ini, Mahkamah Ampang beroperasi di Bangunan Aras 1, Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jalan Pandan Utama, Ampang. Mahkamah Ampang sedia ada hanya mendengar kes-kes jenayah manakala kes-kes sivil di dengar di Mahkamah Sesyen dan Majistret Bangi.

YB Menteri turut berkata bahawa empat buah mahkamah baharu bakal dibina sekiranya mendapat kelulusan Kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 yang akan dibentangkan pada tahun hadapan. Cadangan pembinaan empat buah mahkamah tersebut ialah Mahkamah Baharu Sik, Kedah, Mahkamah Baharu Bachok, Kelantan, Kompleks Mahkamah Baharu Temerloh, Pahang dan Mahkamah Baharu Pengerang, Johor.

Turut hadir dalam lawatan ini ialah YBrs. Puan Roziah Abudin, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan YBrs. Tuan Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP).

1

YB Dato’ Takiyuddin Haji Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) diberi taklimat mengenai kemajuan projek yang disampaikan oleh Encik Ir. Mohd Shahril Mohd Said, Jurutera Daerah Hulu Langat

2

YB Dato’ Takiyuddin Haji Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) meninjau kemajuan projek Pembinaan Mahkamah Baharu Ampang

 

3

YB Dato’ Takiyuddin Haji Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) mendengar penerangan daripada YBrs. Puan Roziah Abudin, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) berhubung Projek Mahkamah Baharu Ampang

4

YB Dato’ Takiyuddin Haji Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) diiringi oleh YBrs. Puan Roziah Abudin, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan YBrs. Tuan Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) di Tapak Projek Mahkamah Baharu Ampang

  • MyGov
  • JPM
  • KSN
  • MAMPU
  • PEJABAT KETUA PENDAFTAR MAHKAMAH PERSEKUTUAN MALAYSIA
  • AGC
  • JPA
  • SUHAKAM
  • JBG
  • MdI