Orang Awam bullet go Soalan Lazim : Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) [Akta 258]

1. Apakah yang dimaksudkan dengan Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 [Akta 258]?
Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 [Akta 258] adalah akta untuk mendaftarkan pemegang amanah bagi sesuatu badan/kumpulan orang sebagai suatu pertubuhan pemerbadanan yang ditubuhkan bagi tujuan agama, pendidikan, kesusasteraan, saintifik, khairat/kebajikan atau sosial seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 2, Akta 258. Akta ini hanya terpakai di Semenanjung Malaysia sahaja.
 
2. Apakah yang dimaksudkan dengan Sijil Pemerbadanan dan apakah kesan pemerbadanan pemegang amanah?
Sijil Pemerbadanan ialah sijil pendaftaran sebagai sebuah pertubuhan perbadanan yang dikeluarkan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengikut peruntukan di bawah Seksyen 2 Akta 258. Pemegang amanah yang telah mendapat Sijil Pemerbadanan akan menjadi sebuah pertubuhan perbadanan dengan nama yang dinyatakan dalam sijil tersebut dan mempunyai suatu meterai am tersendiri serta boleh mendakwa dan didakwa atas namanya.
 
3. Apakah kuasa-kuasa Menteri dalam melaksanakan Akta 258?
Kuasa-kuasa Menteri mengikut Akta 258 ialah:
(i) Menteri boleh mengehendaki untuk mendapatkan akuan bersumpah atau bukti lain bagi mengesahkan penyataan dan butir-butir dalam permohonan dan apa-apa maklumat serta keterangan lain yang difikirkan perlu.
(ii) Menteri boleh menolak permohonan untuk mendapatkan Sijil Pemerbadanan jika beliau berpuas hati bahawa permohonan tersebut tidak mematuhi peruntukan Akta 258 atau apa-apa peraturan yang dibuat di bawahnya.
(iii) Menteri melalui perintah boleh membatalkan Sijil Pemerbadanan tersebut jika didapati melanggar mana-mana peruntukan di bawah Seksyen 17 Akta 258.
 

4. Apakah dokumen-dokumen yang perlu dikemukakan untuk proses pendaftaran pemegang amanah?

Dokumen yang perlu dikemukakan ialah:

  1. Borang Permohonan untuk penubuhan Yayasan berserta setem Hasil RM30 (RM10 x 3 keping);
  2. salinan Kad Pengenalan (warganegara) / passport (bukan warganegara) yang disahkan benar bagi setiap Pengasas dan Pemegang Amanah;
  3. salinan keputusan carian kebankrapan daripada Jabatan Insolvensi Malaysia bagi setiap Pengasas dan Pemegang Amanah;
  4. sesalinan Akuan Bersumpahbagi setiap Pemegang Amanah yang dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Majistret atau Pesuruhjaya Sumpah;
  5. sesalinan draf Surat Ikatan Amanah;
  6. curriculum vitae (CV) / Resume bagi setiap Pemegang Amanah;
  7. (a) Salinan resolusi pelantikan Pemegang Amanah yang ditandatangani oleh orang yang diberi kuasa oleh Badan/Kumpulan Orang yang berkenaan; atau
    (b) Surat pelantikan sebagai Pemegang Amanah;
  8. surat penerimaan pelantikan sebagai Pemegang Amanah
  9. reka bentuk Cop Meterai Am yang dikepilkan bersama ke dalam borang permohonan;
  10. salinan dokumen-dokumen hak milik bagi hartanah (jika ada);
  11. sesalinan Sijil Pendaftaran Syarikat/Sijil Pendaftaran Pertubuhan;
  12. ringkasan mengenai latar belakang,  objektif penubuhan, visi, misi, sumber kewangan, aktiviti yang hendak dijalankan, kuasa melantik ahli-ahli lembaga pemegang amanah dan komposisi ahli lembaga pemegang amanah (tidak melebihi 10 muka surat). 

 

5. Apakah tanggungjawab pemegang amanah mengikut Akta 258?

Tanggungjawab pemegang amanah yang diperbadankan mengikut Akta 258 adalah:

  1. Merekodkan segala bukti pembayaran dan penerimaan untuk setiap perbelanjaan dan mengemukakan laporan kewangan yang telah diaudit kepada YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) pada atau sebelum 30 Jun setiap tahun.
  2. Memaklumkan kepada YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri melalui BHEUU, JPM mengenai sebarang perubahan ahli lembaga pemegang amanah (pelantikan baru/pelantikan semula/pemecatan/peletakan jawatan), pertukaran alamat dan nombor telefon atau apa-apa perkara berkaitan dengannya.
  3. Mengemukakan laporan aktiviti tahunan yang dilaksanakan oleh yayasan.

 

6. Dalam keadaan manakah seseorang akan hilang kelayakan sebagai pemegang amanah?
Menurut Seksyen 6A, seorang pemegang amanah akan hilang kelayakannya jika:
  1. telah disabitkan dengan kesalahan di bawah mana-mana undang-undang dan dikenakan denda tidak kurang daripada Ringgit Malaysia satu ribu (RM1,000) atau penjara tidak kurang dari setahun atau kedua-duanya sekali;
  2. dikenakan perintah tahanan, pengawasan, kediaman terhad, buang negeri atau pengusiran telah dibuat terhadapnya atau apa-apa bentuk sekatan atau pengawasan, dengan bon atau selainnya telah dikenakan terhadapnya di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, pencegahan jenayah, tahanan, pencegahan kediaman terhad atau imigresen.
  3. bankrap;
  4. tidak sempurna akal.

 

7. Berapa tempoh sah laku sijil pemerbadanan?
Tempoh sah laku sijil pemerbadanan tersebut adalah kekal selama-lamanya kecuali dibatalkan.
 

8. Apakah yang menyebabkan sesebuah perbadanan dibatalkan atau digantung?

Sesebuah  perbadanan boleh dibatalkan atau digantung oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri apabila:

  1. diperbadankan melalui cara penipuan, khilaf atau salah nyata;
  2. digunakan bagi maksud yang menyalahi undang-undang atau yang memudaratkan atau tidak bersesuaian dengan keselamatan persekutuan, ketenteraman awam serta moral negara ini; 
  3. didapati telah menyimpang daripada objektif asal penubuhannya;
  4. telah melanggar dengan sengaja peruntukan-peruntukan di dalam Akta 258 dan peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta ini; dan/
  5. didapati melakukan suatu kesalahan di bawah mana-mana undang-undang yang boleh dihukum denda tidak kurang dari Ringgit Malaysia Satu Ribu (RM1,000) atau penjara tidak kurang dari setahun atau kedua-duanya sekali.

 

9. Bolehkah sesebuah perbadanan dibubarkan secara sukarela?

Pembubaran secara sukarela boleh dibuat oleh sesebuah perbadanan di bawah Seksyen 18 Akta 258.

 

10. Bolehkah sesebuah syarikat yang telah didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965/Akta Pertubuhan 1966 menjadi pengasas kepada sesebuah yayasan?

Boleh.

 

11. Di mana saya boleh mendapat maklumat mengenai tatacara permohonan pendaftaran pemegang amanah?

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Pengarah

Seksyen Dasar

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang

Jabatan Perdana Menteri

Aras 6, Bangunan Hal Ehwal Undang-Undang

Presint 3, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan

62692 PUTRAJAYA

No. Telefon: 03-8885 1000

Faks           : 03-8885 1088

      Portal rasmi : www.bheuu.gov.my