• Laman Utama
  • Info BHEUU
  • Maklumat Korporat
  • Pembangunan Mahkamah

TERAS PEMBANGUNAN MAHKAMAH

TERAS PEMBANGUNAN MAHKAMAH

BAHAGIAN HAL EHWAL UNDANG-UNDANG

I. KENYATAAN
Keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang menjadi asas penting kepada amalan sistem demokrasi berparlimen dan sistem Kerajaan berasaskan pembahagian kuasa diantara badan-badan Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman. Bagi mendukung badan kehakiman, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU-JPM) telahpun mensasarkan misi dan objektif untuk merancang dan membangunkan infrastruktur dan prasarana Mahkamah serta mencetuskan inisiatif baru bagi penambahbaikan dalam sistem penyampaian pentadbiran kehakiman negara berteraskan kehendak Kerajaan dan keperluan masyarakat.

II. TERAS PEMBANGUNAN MAHKAMAH
BHEUU telah merangka 3 komponen teras seperti berikut :-

  1. Penyediaan infrastruktur fizikal dan prasarana yang mencukupi dan lengkap;
  2. Menaiktaraf bangunan mahkamah; dan
  3. Pemantauan dan penilaian prestasi kemajuan pelaksanaan program dan projek pembangunan mahkamah.

A) PENYEDIAAN INFRASTRUKTUR FIZIKAL DAN PRASARANA YANG MENCUKUPI DAN LENGKAP

  • Institusi Kehakiman moden telah wujud sejak zaman penjajahan British lagi. Skop, bidangkuasa, dan tanggungjawab institusi ini telah berkembang dan diperluaskan semenjak negara mencapai kemerdekaan, khusus berikutan peningkatan jumlah penduduk serta aktiviti ekonomi dan komersial dalam tempoh 60 tahun kebelakangan ini. Walau bagaimanapun, kemudahan-kemudahan fizikal serta teknologi Mahkamah yang disediakan tidak selari dengan kemajuan semasa dalam sistem badan kehakiman di Malaysia.
  • Bangunan-bangunan yang dibina sebelum Perang Dunia Kedua (Pre-War Buildings) masih digunakan sebagai Mahkamah. Kemudahan dan ruang sedia ada di bangunan-bangunan tersebut tidak lagi mampu menampung keperluan semasa Badan Kehakiman.
  • Keadaan ini telah menjejaskan pentadbiran kehakiman dan telah menyumbangkan kepada kes-kes yang tertunggak di Mahkamah seluruh negara. Jika keadaan ini berterusan, ianya boleh memudaratkan hak asasi rakyat serta menjejaskan ekonomi negara.
  • Bagi mengatasi masalah di atas dan untuk memenuhi keperluan semasa Badan Kehakiman, BHEUU telahpun mengambil tindakan strategik seperti berikut:
    1. Membina bangunan-bangunan Mahkamah baharu bagi menggantikan bangunan Mahkamah lama di premis yang disewa;
    2. Membina bangunan-bangunan Mahkamah yang mempunyai satu atau dua buah bilik bicara di daerah-daerah yang tidak mempunyai bangunan Mahkamah. Ini bertujuan untuk lebih memudahkan orang rakyat mendapatkan perkhidmatan dari Mahkamah; dan
    3. Merancang dan memastikan kelancaran pembinaan kompleks Mahkamah di setiap ibu negeri di Malaysia.
  • Bagi mengekalkan keselesaan & keselamatan Hakim-hakim Mahkamah Tinggi khususnya berkaitan dengan penginapan, BHEUU telah merancang pembinaan rumah-rumah kediaman rasmi Hakim di beberapa lokasi terpilih. Kediaman-kediaman rasmi ini diperlukan berikutan:
    1. Kebanyakan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi tidak dibekalkan rumah rasmi kerajaan (institutional quarters) dan terpaksa menyewa rumah atau menduduki kuarters Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, terdapat kesukaran mendapatkan rumah Kerajaan Negeri dan rumah sewa yang sesuai dengan taraf Hakim pada kadar yang munasabah. Kebanyakan rumah sewa juga tidak dilengkapi dengan peralatan dan kemudahan yang layak diperolehi oleh Hakim;
    2. Kesukaran mendapatkan rumah sewa yang sesuai dari segi lokasi dan dari aspek keselamatan; kebanyakan rumah sewa adalah terletak di kawasan perumahan. Justeru itu ia boleh menjejaskan keselesaan dan keselamatan Hakim; dan
    3. Ia boleh memudahkan urusan penyelenggaraan dan kawalan yang lebih baik ke atas kediaman rasmi tersebut mengikut keperluan semasa.

B) MENAIKTARAF BANGUNAN MAHKAMAH

  • BHEUU juga merancang untuk menaiktaraf dan membesarkan ruang kerja Mahkamah selaras dengan keperluan semasa. Kebanyakan bangunan-bangunan Mahkamah yang sedia ada tidak dapat menampung keperluan semasa. Untuk itu, ruang-ruang tambahan dicadangkan untuk dibina seperti bilik menunggu orang kenamaan, perpustakaan, kantin, stor, bilik fail, bilik sembahyang dan pembesaran ruang kaunter khidmat pelanggan.

C) PEMANTAUAN DAN PENILAIAN PRESTASI KEMAJUAN PELAKSANAAN PROGRAM DAN PROJEK PEMBANGUNAN MAHKAMAH

  • Memastikan kemudahan fizikal dan teknologi sistem pentadbiran kehakiman disediakan mengikut piawaian yang ditetapkan bagi membantu mengurangkan kes-kes tertunggak;
  • Memastikan peruntukan kewangan yang diterima adalah mencukupi bagi kelancaran pelaksanaan projek pembangunan Mahkamah;
  • Memastikan semua kerja fizikal bangunan siap dengan sempurna sebelum menetapkan sesi penerimaan dan penyerahan kepada agensi pelanggan; dan
  • Memastikan semua kerja pembaikan kecacatan diselesaikan dalam tempoh tanggungan kecacatan projek (Defect Liability Period).