Press Statement 19 July 2016

jata

KENYATAAN MEDIA

YB DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

JANGAN CAMPUR TANGAN URUSAN PERUNDANGAN MALAYSIA


PUTRAJAYA – Kenyataan yang dikeluarkan beberapa pihak sebelum ini yang mendakwa cadangan pindaan Akta Profession Undang-Undang 1976 (LPA) dibuat untuk kerajaan Malaysia campur tangan dalam urusan Majlis Peguam adalah tidak tepat. Kenyataan tersebut juga dianggap pra matang dan tidak menghormati sistem perundangan negara ini.

2. Pindaan LPA sedang dalam peringkat penggubalan, adalah tidak adil pihak luar untuk campur tangan dan mengeluarkan sebarang kenyataan. Prinsip untuk tidak campur tangan dalam urusan Negara lain perlu dipegang oleh semua pihak. Cadangan pindaan terhadap LPA dibuat setelah mengadakan perbincangan dan mengambil pandangan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Majlis Peguam sendiri. Harus difahami, proses sesuatu pindaan itu perlu melalui banyak peringkat sebelum dibawa ke Kabinet dan diluluskan di Parlimen.

3. Selain itu, apa yang dibangkit oleh Majlis Peguam sebelum ini juga adalah tidak berasas kerana kerajaan tidak berhasrat untuk mengawal badan itu sebaliknya pindaan tersebut dibuat selaras dengan Seksyen 42 (1) (I) Akta 166 iaitu memajukan hubungan baik dan pergaulan sosial di kalangan ahli dan antara ahli dengan orang lain yang terlibat dalam pentadbiran undang-undang dan keadilan di Malaysia.

4. Majlis Peguam perlu berpegang kepada tujuan penubuhannya untuk melindungi kepentingan profession undang-undang yang melibatkan lebih 17,000 ahlinya. Saya berharap Majlis Peguam terus memainkan peranannya secara professional dan bertanggungjawab terhadap ahli-ahlinya. Saya ingin tegaskan bahawa cadangan pindaan kepada LPA ini juga tidak mengganggu gugat integriti dan kebebasan peguam.


DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
Menteri di Jabatan Perdana Menteri

19 Julai 2016